Islam mengiktiraf hak untuk bebas bersuara di kalangan rakyat dan juga mengiktirafkan hak mereka untuk menegur, memberi nasihat, pandangan serta pendapat hasil dari pemikiran mereka kepada mana-mana pihak termasuk kerajaan yang memerintah. Apabila kita sebut pula tentang sistem demokrasi, di antara ciri-ciri penting yang menjadi asasnya adalah pengiktirafan terhadap perkara-perkara yang telah disebutkan di atas. Ini adalah kerana demokrasi yang dijalankan di negara kita menjunjung prinsip asas kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan negara kita.